Tuesday, December 28, 2010

Latihan ekuin guna kuda matang berusia antara tujuh hingga 10 tahun


KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah menengah vokasional (SMV) yang terbabit dalam pelaksanaan program perantisan ekuin mulai tahun depan, akan diberi perlindungan insurans dan disediakan kuda matang berusia antara tujuh hingga 10 tahun untuk latihan lapangan.
Pengarah Urusan Setia Brothers Sdn Bhd, Norhayati A Rahim, berkata syarikat bertanggungjawab mengendalikan latihan program itu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), akan hanya menggunakan kuda terlatih dan sudah mendapat banyak pendedahan berinteraksi dengan manusia.
Beliau berkata, ini berikutan kuda berpengalaman sedemikian adalah lebih terkawal, tidak agresif dan mudah dikendalikan, berbanding kuda muda berumur antara dua hingga enam tahun yang masih bersifat seperti `kanak-kanak’ kerana amat suka bermain atau bergurau, nakal, terlalu cergas serta banyak ragam.

“Justeru, Setia Brothers sedang memantau pemilihan kuda bersesuaian sebagai persediaan melaksanakan latihan lapangan bagi program perantisan ekuin bermula Mac tahun depan.

“Ini amat penting bagi mengelakkan tercetus perasaan takut, serik atau panik kerana kebanyakan pelajar memasuki program itu tiada asas langsung dalam bidang ekuin, malah ada yang tidak pernah menyentuh kuda.

“Sekurang-kurang enam kuda disediakan untuk latihan lapangan, yang boleh diperoleh dari kelab ekuin, lelongan ladang atau orang perseorangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Akhbar semalam melaporkan Kementerian Pelajaran memperkenalkan program perantisan bidang pengurusan dan penyelenggaraan kuda atau ekuin serta teknologi pemprosesan kayu di SMV mulai tahun depan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab, dipetik sebagai berkata untuk permulaan, program perantisan ekuin akan ditawarkan kepada masing-masing 20 pelajar Tingkatan Empat SMV Sungai Buloh dan SMV Kajang pada sesi persekolahan 2011.

Norhayati berkata, pelajar kedua-dua sekolah berkenaan akan menjalani latihan lapangan sebanyak tiga hari seminggu pada sesi berlainan, di bawah penyeliaan, pemantauan keselamatan dan kawalan tenaga profesional terlatih serta guru terbabit dalam pengajaran teori di SMV.

“Sepanjang tempoh mengikuti program ini di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima nanti, pelajar akan menjalani tiga peringkat penilaian kemahiran diiktiraf melalui sijil dikeluarkan University of Ballarat, Australia, selain mendapat Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV),” katanya.

Beliau berkata, pelajar antara lain akan didedahkan kepada pengenalan dan asas ekuin, mengenali bahasa badan dan ragam kuda, anatomi haiwan itu, kaedah berinteraksi dengan kuda seperti mengelakkannya terkejut akibat sentuhan dari belakang, serta pengurusan dan penyelenggaraan bangsal, kuda dan juga peralatan berkaitan, di samping laluan kerjaya dalam bidang itu.
petikan dari : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PelajarSMVdilindungiinsurans/Article

No comments:

Post a Comment